Latar belakang
Dalam tahun-tahun menuju
kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia
tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti
sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah
lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956
dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar pendidikan ini telah
disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan
Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.
Kemudian, sebuah Jawatankuasa
Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar
Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk
melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi
keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai.
Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.
Rasional
Rasional
Sistem pendidikan di zaman
penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan,
pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan
berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka
kepada negara asal mereka dan menekan suppress semangat pembangunan rakyat
tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi
apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu, langkah-langkah
diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk
negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.
Objektif
Objektif
Objektif dasar ini dinyatakan dalam
Pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu:
"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya..." Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.
Seterusnya, objektif-objektif ini
diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya
ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat
memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek dan
melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih.
Falsafah Pendidikan Negara yang
diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis
baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan
berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan
memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini
menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.
Strategi Pelaksanaan
Beberapa strategi telah digubal
untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:
(a) Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang
utama;
(b) Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia
bagi semua jenis sekolah;
(c) Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;
(d) Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;
(e) Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu;
(f) Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun;
(g) Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan
mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman;
(h) Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh;
(i) Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui
penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978;
(j) Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di
peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan;
(k) Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin;
(l) Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata
pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan
(m) Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin,
seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.
Di samping strategi ini, Dasar
Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan
tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras
dengan pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/Jabatan Pendidikan pula,
beberapa Bahagian dan Jawatankuasa yang meliputi perkara-perkara yang
dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau
diperkuatkan bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini.
Diantaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan,
Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro
Buku Teks, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan
Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat Perkembangan
Kurikulum.
Penutup
Penutup
Dasar Pendidikan Kebangsaan
sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa
depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian
adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan secucuk dengan keperluan-keperluan
swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan,
perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi
keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari segi kualiti. Dasar
ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif
dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan
untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan semasa yang
menekankan penyertaan swasta secara aktif.