Tanggungjawab
sistem pendidikan adalah untuk menyediakan generasi muda dengan pelbagai
pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menghadapi alam dewasa. Dalam
konteks menyediakan pendidikan yang ideal, tujuan dan matlamat pendidikan
negara pada abad ke 21 amat jelas sekali. Kementerian Pendidikan telah menyusun
dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh, dan mempertingkatkan mutu
pendidikan negara sesuai dengan perubahan sosialisasi masyarakat hari ini.
Salah satu unsur yang penting adalah memberikan peluang pendidikan yang sama
kepada semua pelajar tanpa mengambil kira budaya, kelas sosial, kelompok etnik
dan amalan atau cara hidup.
Dalam buku Pembangunan Pendidikan
2001-2010 (KPM, 2001). Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan bahawa
pembangunan pendidikan dari Zaman Dasar Pembangunan hingga ke Zaman Dasar
Wawasan Negara telah berjaya mencapai banyak kemajuan khususnya dalam
penyediaan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Strategi
meningkatkan peluang pendidikan berjaya mencapai sasarannya. Walau
bagaimanapun, apa yang dilihat pada masa ini masih terdapat pelbagai isu yang
ditimbulkan berkaitan dengan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya
perkara berhubung sengan struktur pendidikan; akses kepada pendidikan; ekuiti;
kualiti tenaga pengajar; ketidakseimbangan penyediaan infrastruktur;
Pelaksanaan Program PPSMI; dan kurikulum yang relevan. Ini selaras dengan
pendapat Sufean (2004) yang menyatakan terdapat banyak isu pendidikan yang
boleh dikatagorikan iaitu pentadbiran, peringkat pendidikan, teknologi
pendidikan, organisasi sekolah dan keguruan.
Struktur Pendidikan
Beberapa isu berkaitan dengan struktur pendidikan antaranya termasuklah
struktur pendidikan menengah yang tidak selaras kurang menepati keperluan,
misalnya:
- Bilangan tahun persekolahan
struktur pendidikan Malaysia tidak sama dengan kebanyakan negara lain di
dunia;
- Tidak terdapat keseragaman
dalam kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan wujudnya
pelbagai haluan;
- Kebanyakan pelajar memilih
untuk menamatkan persekolahan mereka selepas Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM); dan
- Skop kurikulum Tingkatan 1
hingga 6 sangat luas.
Akses Pendidikan
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM telah memperkenalkan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology
(ICT) dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan
guru. KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan pembekalan komputer
sebagai aktiviti utama penyediaan infrastruktur ICT. Namun isu dan masalah yang
menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Antara masalah tersebut adalah berkaitan dengan:
- pembekalan komputer yang tidak
seimbang antara sekolah bandar dan luar bandar;
- perisian komputer untuk P&P
yang sesuai sukar diperoleh;
- latihan dalam perkhidmatan
untuk guru mengendalikan sistem komputer di sekolah yang kurang berkesan;
- penyenggaraan komputer yang
kurang memuaskan di sekolah; dan
- bilangan guru terlatih dalam
ICT yang belum mencukupi.
Justeru
adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk memastikan setiap sekolah akan
memperoleh komputer menjelang usaha menjadikan setiap murid dan guru celik ICT.
Ekuiti Pendidikan
Dalam pelaksanaan Pembangunan Pendidikan 2001-2010, setiap institusi pendidikan
di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan dipastikan mempunyai
infrastruktur yang berkesan yang mencukupi dan berkualiti untuk pelaksanaan
kurikulum dan kokurikulum yang berkesan. Oleh itu, input pendidikan yang
meliputi guru, peruntukan kewangan, bahan dan peralatan pengajaran serta
program sokongan akan diagih secara adil ke semua sekolah bagi mengurangkan
jurang perbezaan antara sekolah beruntung (advantaged school) dan sekolah
kurang beruntung (disadvantaged school). (Sumber: Pembangunan Pendidikan
2001-2010, KPM).
Namun, setelah lebih kurang tujuh tahun pelaksanaan program tersebut, masih
terlalu banyak sekolah-sekolah di Malaysia yang belum dapat menikmati kemudahan
yang dijanjikan. Ini menyebabkan timbulnya beberapa isu yang dikaitkan dengan
ekuiti atau peruntukan yang disediakan oleh KPM tidak mencukupi untuk
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebagai contoh, kementerian
tidak menyediakan prasarana yang amat diperlukan, seperti bilik darjah yang
mempunyai kemudahan khusus, terutamanya sekolah-sekolah luar bandar atau
pedalaman. Selain itu, kemudahan lain seperti sumber pengajaran dan pembelajaran
dan kelengkapan buku teks juga masih berkurangan.
Tenaga pengajar
Kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran turut menjadi isu dalam
pelaksanaan pendidikan pendidikan yang berkesan. Berdasarkan statistik yang
dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan Pembangunan Pendidikan (BPPDP)
Kementerian Pelajaran Malaysia, pada tahun 2000 sebanyak 61.8 guru terdiri
daripada guru perempuan dan KPM menghadapi masalah menempatkan mereka di
sekolah luar bandar, khususnya di pedalaman dan pulau. Kebanyakan sekolah di
pedalaman dan pulau mendapat guru yang kurang berpengalaman atau kurang
latihan. Keadaan ini juga turut menyebabkan berlaku ketidaksepadanan (mismatch)
dalam pengagihan guru mengikut opsyen. Maka berlakulah keadaan di mana
kebanyakan guru yang mengajar di sekolah menjadi “bidan terjun”. Guru yang
bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains
dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar. Disebabkan kurang
pengalaman dan pengetahuan tentang subjek berkenaan maka kewibaan guru dalam
menyampaikan ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.
Program PPSMI
Sejajar dengan matlamat ingin melahirkan pelajar yang “bertaraf dunia”, KPM
juga telah melaksanakan Program Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains
dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Walau bagaimanapun penggunaan bahasa Inggeris
sebagai pengantar subjek sains dan matematik telah mendapat respon yang negatif
daripada rakyat. Ini kerana penggunaan bahasa asing bukan sahaja merosakan
kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu, tetapi turut memusnahkan
reputasi pelajar, khususnya di luar bandar. Mereka belajar melalui medium yang
mereka tidak faham. Komunikasi tidak berkesan dalam pelajaran sudah tentu
memberi kesan yang buruk.
Kesan globalisasi
Selain daripada itu, isu-isu berkaitan pendidikan juga turut melibatkan
penggunaan internet. Era dunia tanpa sempadan atau globalisasi telah memudahkan
maklumat diperoleh dengan cepat dan berkesan melalui internet atau laman-laman
web dan sebagainya melalui komputer. Implikasinya, isu-isu Moral semasa
khususnya isu-isu yang membabitkan nilai-nilai sosial menjadi begitu kompleks
dan menjadi sukar untuk diselesaikan. Fenomena ini disebabkan nilai-nilai murni
masyarakat Malaysia yang ingin diterapkan bercanggah dengan nilai-nilai di
Barat atau negara-negara maju yang lain yang mana mereka lebih mementingkan
materialistik, individualistik dan budaya kosmopolitan.
Sahsiah Pelajar
Kualiti sahsiah pelajar pada pelbagai peringkat pendidikan juga turut menjadi
isu dan dipersoalkan kerana masih terdapat sebilangan pelajar rendah yang naik
ke sekolah menengah, atau pelajar menengah rendah yang naik ke Tingkatan 4
memiliki kualiti sahsiah yang kurang baik. Hal ini berlaku pada kebanyakan
murid tanpa mengira kaum dan agama. Sebagai contoh, tabiat merokok di kalangan
pelajar, gejala vandalisme, melepak, ponteng sekolah dan sebagainya di kalangan
pelajar sekolah semakin menjadi-jadi.
Isu-isu lain dalam sistem pendidikan
Selain isu-isu yang dikemukakan di atas, terdapat pelbagai lagi isu yang timbul
berkenaan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya:
- Kepimpinan sekolah masih tidak
dapat berfungsi sepenuhnya sebagai pemimpin pengurusan dan pemimpin
pengajaran (instructional leadership) yang berkesan;
- Pengupayaan kepada sekolah
adalah terhad. Semua sekolah masih perlu mengikuti satu sistem, prosedur
dan pendekatan yang seragam dan tidak mengambil kira kemampuan, keupayaan khusus
dan potensi untuk sekolah melaksanakan dasar dan program pendidikan
sendiri;
- Layanan yang sama diberi kepada
semua sekolah walaupun pada realitinya sekolah mempunyai keperluan,
kekuatan dan kelemahan serta keupayaan yang berbeza;
- Keselamatan di sesetengah
sekolah masih belum terjamin sepenuhnya;
- Penandaarasan bagi menjamin
sekolah di Malaysia setanding dengan sekolah di negara maju adalah terhad;
- Struktur organisasi antara
lapisan pentadbiran di KPM yang tidak setara menyebabkan penyaluran dasar
dan pelan pelaksanaan kurang sistematik dan berkesan;
- Sistem penyampaian masih belum
cekap dan berkesan khususnya daripada aspek pemberian bantuan; dan
- Sistem maklumat tidak
menyeluruh dan tidak bersepadu.