Pages

Sunday, 25 December 2011

Artikel Berita Harian Mengenai Buku Terpakai!!!

Kewujudan laman blog, teknologi e-book, mobilebook tidak halang penjualan bahan cetak dengan harga murah di Chowrasta


Berita Harian ( www.bharian.com.my)
Oleh : Fazaalah Pit


GEORGETOWN: Di sebalik kerancakan teknologi pembacaan, bahan bercetak termasuk buku terpakai masih mendapat tempat di kalangan pembaca walaupun kian terpinggir daripada arus perdana.
Kehadiran lambakan blog dan laman web yang dianggap wadah pembacaan moden dan mesra pengguna serta berteknologi, tetap belum dapat menggantikan peranan bahan bercetak.

E-Book


 Malah, teknologi e-book dan mobilebook (mbook) yang dianggap buku atau novel dalam talian yang boleh dimuat turun ke komputer atau telefon bimbit, belum begitu meluas di kalangan masyarakat kecuali generasi baru khususnya remaja.Ini menjadikan `perkampungan buku’ masih relevan, sekurang-kurangnya di mata penggemar buku dan novel konvensional.Namun, untuk memperoleh buku lama, jauh lebih sukar daripada mencari buku keluaran terbaru. Lebih susah daripada mencari buku baru terbitan luar negara.
Teknologi internet juga tidak banyak membantu. Hanya buku terbitan baru dijual secara talian sedangkan buku lama seakan-akan dinafikan haknya dalam dunia buku ini.

Lain pula ceritanya lambakan kedai buku terpakai di tingkat dua pasar Chowrasta, Jalan Penang yang lebih terkenal sebagai pasar menjual aneka jeruk buah-buahan tempatan.
Beribu-ribu buku terpakai boleh ditemui di sini dan harganya pula jauh lebih murah. Dari buku bacaan kanak-kanak hingga bacaan dewasa termasuk buku ilmiah, kebanyakannya terbitan lama, boleh dibeli dengan mudah.
Ia adalah satu-satunya lokasi yang menghimpun buku terpakai baik terbitan tempatan mahupun luar negara, yang dijual kepada orang ramai, sejak kira-kira 30 tahun lalu.
Ada kira-kira 10 hingga 15 kedai buku terpakai beroperasi di Chowrasta. Namun, sebahagian sudah ditutup kerana tidak mendapat sambutan berikutan lokasinya tidak strategik.

Kedai buku berkenaan sudah wujud sejak kira-kira 30 tahun dengan memulakan operasi di Jalan Tek Soon berhampiran Kompleks Abdul Razak (Komtar) sebelum berpindah ke Jalan Macalister.
Bagaimanapun, perpindahan ke Chowrasta pada 15 tahun lalu menyebabkan industri buku terpakai di negeri ini mulai menjadi suram dan malap hingga ke saat ini.

Seorang penjual buku, Gulam Mohamad Hanifah, 52, berkata perniagaan itu diwarisi daripada keluarganya sejak 15 tahun lalu tapi sambutannya semakin dingin.
Beliau menjual buku pelbagai disiplin ilmu, termasuk agama, sastera, sejarah, sains dan geografi.
Katanya, buku itu diperoleh dengan membelinya secara pukal dari pelbagai sumber sebelum dijualnya dengan potongan harga yang besar, bergantung kepada nilai sesebuah buku.

“Nilai buku pula tidak bergantung kepada ketebalan, isi kandungan, penulis atau keadaannya tapi tempoh terbitan dan faktor susah atau senangnya buku itu diperoleh,” katanya.
Iskandar Mohd Ismail, 43, berkata kebanyakan buku terpakai yang dijual diterbit pertama kali sekitar tahun 80-an atau 70-an.
Katanya, ada juga buku terpakai yang baru dua atau tiga tahun diterbit khususnya novel popular antaranya Satu Hati dan Bagaikan Puteri karya Awang Ramlee Mursyid, dijual di kedainya.
“Banyak buku yang digemari remaja juga kami jual tapi lokasi kedai yang jauh dari laluan orang ramai menyebabkan perniagaan kami semakin hari semakin merosot.
“Kebanyakan pengunjung mencari buku sastera seperti novel lama, antologi puisi dan cerpen. Mereka sanggup datang dari jauh kerana mencari buku tertentu,” katanya.
Seorang peniaga buku yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, berkata beliau turut menjual cetakan gambar lama, poskad, setem dan peta lama.
“Selain buku, saya juga gemar menjual bahan bercetak terpakai atau lama. Ia tidak popular sebagai barang jualan tapi masih ada peminat tersendiri,” katanya.

Seorang pengunjung tetap, Siti Nasyidah Jainul Abidin, 16, berkata beliau gemar membeli novel bertemakan cinta di situ kerana ia lebih murah berbanding di kedai buku biasa sedangkan keadaan buku masih elok.
“Ada banyak novel yang agak baru diterbitkan sekitar satu atau dua tahun lalu, dijual di kedai ini. Kalau beli di kedai buku, agak mahal berbanding di kedai ini.
“Saya tidak menggemari membaca bahan bacaan internet kerana tidak mahir mengaplikasikan teknologi berkenaan. Saya lebih suka membaca novel bercetak,” katanya.

Penulis muda yang sedang meningkat naik, Azizul Ikhwan Azizul atau nama penanya Ode yang menetap di Kajang, Selangor sanggup datang sendirian ke Pulau Pinang bagi membeli buku sastera yang sukar ditemui di tempat lain.

“Sesetengah karya sastera lama tidak dicetak lagi, jadi saya bermalam sehari untuk mencari novel atau antologi sajak sebelum pulang, keesokannya.
“Saya membeli beberapa novel karya penulis ternama di kedai itu berikutan saranan beberapa rakan lain yang memaklumkan kedai ini banyak menjual buku lama,” katanya.

No comments:

Post a Comment