Pages

Thursday, 26 January 2012

Buku Bahasa Inggeris dan Cara Menguasainya

Bahasa Inggeris (BI) didakwa kurang menarik minat pelajar, sekali gus menjadi faktor mereka tidak mampu menguasai bahasa itu 

Kandungan buku juga dikenal pasti tidak mempunyai kesinambungan antara satu topik dengan yang lain mengakibatkan pelajar tidak faham, hilang fokus dan jemu seterusnya tidak berminat untuk belajar BI.


Mendedahkan perkara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata bahan dalam buku teks sedia ada lebih sesuai untuk pelajar yang sememangnya datang daripada keluarga yang menuturkan BI di rumah.
Bagaimanapun, katanya di Malaysia, kira-kira lebih 80 peratus pelajar tidak menjadikan pertuturan BI sebagai amalan.

“Pendekatan ‘Communicative English’ (CE) yang menjadi bahan kurikulum dan kaedah pengajaran diamalkan di Malaysia sejak lebih 20 tahun lalu kurang sesuai untuk keadaan sekarang kerana manfaat pendekatan itu lebih menjurus kepada pelajar dari negara yang sememangnya berkomunikasi dalam BI seperti Amerika Syarikat, England serta Australia,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran dilaporkan membuat penilaian semula kurikulum pengajaran Bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan.

Isahak berkata, pendekatan CE kurang sesuai untuk diajar kepada pelajar di luar bandar kerana kegunaan atau fungsi BI tidak meluas untuk komunikasi, pelajar hanya belajar BI kira-kira sejam sehari dalam bilik darjah dan tidak menggunanya sebagai bahasa komunikasi dalam kehidupan di luar bilik darjah.
Sebaliknya, katanya, modul pembelajaran dengan pendekatan alternatif iaitu bahasa Inggeris dalam konteks isi kandungan (English in context for content- ECC) lebih menarik dan mudah diterima pelajar.

“Modul ini memberi perhatian kepada tatabahasa, kosa kata dan budaya penggunaan bahasa. Terbukti, ia mudah dipelajari dan guru juga mudah menggunakannya sebagai bahan P&P apabila kajian dijalankan di UPSI.


“Murid Tahun Satu pun seronok menguasai kosa kata menerusi ECC, mereka mampu memahami kira-kira lima perkataan asas BI dalam masa hanya 10 minit dan tidak hairanlah jika mereka boleh faham 300 perkataan dalam enam bulan serta boleh membaca buku cerita asas BI,” katanya.

Sementara itu, Profesor Bahasa dan Linguistik yang juga Pengarah Pusat Penerbitan Universiti, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datin Dr Hajibah Osman, berkata penilaian itu perlu memberi tumpuan kepada kredibiliti tenaga pengajar sama ada benar-benar sudah menguasai bahasa kedua itu dengan baik.

“Cara penyampaian guru yang kreatif akan menarik minat pelajar kerana teknik pengajaran biasa akan membuatkan sesi P&P menjadi bosan seterusnya mengakibatkan pelajar tidak memberi tumpuan sepenuhnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment