Kesusasteraan merujuk kepada hasil seni yang disampaikan melalui bahasa.
Dari segi hurufiahnya, perkataan kesusasteraan bermaksud "kumpulan
buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya." Pada erti kata yang lebih
luas, kesusasteraan boleh dimaksudkan sebagai segala pengucapan yang
indah-indah, sama ada ia tertulis atau tidak.
Kesusasteraan wujud
dalam masyarakat manusia melalui bentuk tulisan dan juga wujud dalam bentuk
lisan. Dalam kehidupan sehari-harian, kedua-dua bentuk kesusasteraan
sememangnya tidak terpisah daripada kita. Misalnya, kita akan mendengar muzik
yang mengandungi lirik lagu yang merupakan hasil sastera. Dan kita sendiri pula
akan menggunakan pelbagai peribahasa dan pepatah yang indah-indah yang
sebenarnya juga merupakan kesusasteraan.
Pada kesimpulannya, kesusasteraan
merupakan sebahagian daripada budaya manusia. Ia adalah ekspresi diri manusia
dan juga manifestasi estetik manusia terhadap bahasa yang dipertuturkan oleh
mereka sendiri.
Bentuk-bentuk
kesusasteraan
Kesusasteraan dapat dilahirkan dalam
pelbagai bentuk bahasa. Dan secara kasarnya ia boleh dikategorikan kepada 2
kategori yang besar menurut bentuk bahasa yang digunakan, yakni:
- Prosa
- Puisi
Prosa merujuk kepada hasil kesusteraan yang ditulis dalam
ayat-ayat biasa, yakni dengan menggunakan tatabahasa mudah. Biasanya ayat-ayat
dalam kesusasteraan akan disusun dalam bentuk karangan. Prosa adalah satu
bentuk kesusasteraan yang lebih mudah difahami berbanding dengan puisi. Contoh
bagi kesusasteraan prosa ialah: cerpen, novel, skrip drama, essei dan sebagainya.
Puisi merujuk kepada hasil kesusasteraan yang ditulis dengan
"tidak menuruti tatabahasa". Ia sebenarnya tidak terdiri daripada
ayat-ayat yang lengkap, melainkan terdiri daripada frasa-frasa yang disusun dalam
bentuk baris-barisan. Pada lazimnya, puisi merupakan bahasa yang berirama dan
apabila dibaca pembaca akan berasa rentaknya. Contoh bagi kesuasteraan puisi
termasuklah: Sajak,
Syair,
Pantun,
Gurindam,
Lirik,
Seloka,
Mantera dan sebagainya.
Jenis-jenis
kesusasteraan
Sekiranya, hasil kesuasteraan
dikategorikan secara semantik, yakni dari segi isi, kesusasteraan boleh
dibahagikan kepada dua kategori yang besar, yakni:
- Naratif
- Bukan Naratif
Kesusasteaan Naratif merupakan hasil sastera yang mengandungi perkembangan plot.
Dengan kata lain, ia adalah bahan sastera yang menceritakan suatu peristiwa,
yang mengandungi unsur watak, masa berlaku dan tempat berlaku. Kesusasteraan
ini biasanya dilahirkan dalam bentuk prosa, tetapi dalam keadaan tertentu ia
juga dilahirkan dalam keadaan puisi, seperti apa yang dimaksudkan sebagai syair
naratif seperti: Syair Siti Zubaidah.Kesusasteraan
naratif adalah satu hiburan yang biasa terdapat dalam kehidupan manusia. Dalam
masyarakat moden, kita dapat menjumpai kesusasteraan naratif dalam bentuk
cerpen, komik, filem, drama dan sebagainya.
Kesusasteraan bukan Naratif merujuk kepada hasil kesusasteraan yang tidak mengandungi
plot. Bahan sastera ini mengandungi lebih banyak ekspresi pengarang berbanding
dengan kesusasteraan naratif. Kesusteraan ini lebih banyak dilahirkan dalam
bentuk puisi.
Struktur
teks kesusasteraan
Kesusasteraan boleh dilahirkan dalam
pelbagai cara, dan salah satu cara yang biasa ditemui adalah dalam bentuk teks,
yakni dalam bentuk tulisan yang tersusun. Teks kesusasteraan merupakan satu
bentuk binaan yang terdiri daripada unsur-unsur seperti apa yang sebut di
bawah:
- Tema
- Gaya Bahasa
(Yang berikutnya untuk sastera
naratif sahaja)
- Plot
- Watak dan Perwatakan
- Sudut Pandangan
- Latar
Kehadiran unsur-unsur ini dalam teks
kesusasteraan membezakan teks kesusasteraan dengan bentuk tulisan yang lain
seperti tulisan sains.
No comments:
Post a Comment