Pages

Tuesday 28 February 2012

Menjaga Buku Teks


Sesi persekolahan tahun ini sudah pun bermula . Jadi mulai minggu ini, pasti proses pembelajaran sudah pun bermula di sekolah masing-masing.

Antara bahan pembelajaran yang paling penting di sekolah ialah buku teks. Buku teks dianggap sebagai sumber rasmi pembelajaran kerana berdasarkan kandungannya proses pembelajaran dalam kelas dijalankan.

Buku teks mengandungi pelbagai maklumat dan ilmu pengetahuan baru yang perlu diketahui oleh pelajar. Seandainya buku itu tidak ada atau  rosak, pasti pelajar akan menghadapi masalah apabila proses pengajaran dan pembelajaran bermula.

Pelajar yang layak menerima buku teks di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) sebahagiannya sudah menerima buku tersebut  sebelum cuti persekolahan akhir tahun lalu,

Pada tahun ini, seramai 2.52 juta orang pelajar sekolah rendah menerima buku
teks di bawah SPBT.

SPBT diberikan kepada pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan RM1 500 ke bawah dan pelajar sekolah jenis kebangsaan yang ibu bapanya berpendapatan RM1 000 ke bawah.

Bagi mereka yang berkemampuan, buku teks perlu dibeli sendiri.
Bagaimanapun, sama ada membeli sendiri atau diperoleh menerusi SPBT, pelajar sewajarnya menjaga keselamatan buku teks supaya tidak rosak dan tahan lebih lama.

Penjagaan buku teks supaya sentiasa dalam keadaan baik perlu. Ini kerana buku teks yang sama akan terus digunakan dari tahun demi tahun sehinggalah kandungannya disemak semula.

Sehubungan itu, pelajar sepatutnya mengamalkan sikap cintakan harta benda, termasuk buku teks, sama ada buku itu diperoleh dengan cara membeli sendiri atau pinjaman.

Antara cara yang boleh dilakukan ialah membalut buku itu supaya kulit dan kandungannya tidak rosak. Jika dahulu, kebanyakan pelajar membalut buku teks menggunakan bahan yang murah atau kertas terpakai seperti kertas minyak, akhbar, majalah lama, pembalut hadiah dan sebagainya.

Selain itu, pelajar juga boleh menggunakan plastik lutsinar untuk dijadikan pembalut. Tambahan pula, kini terdapat pembalut buku plastik yang telah siap berpelekat. Ini memudahkan kerja-kerja membalut buku.

Kepada pelajar yang menerima buku teks di bawah SPBT, mereka seharusnya berterima kasih mendapat bantuan itu. Sebagai tanda terima kasih, buku teks itu perlu dijaga supaya ia sentiasa berada dalam keadaan baik dan dapat digunakan oleh pelajar lain pada tahun berikutnya.

Begitu juga dengan pelajar yang membeli sendiri buku teks. Langkah yang sama perlu dilakukan sebagai tanda berterima kasih kepada ibu bapa yang telah mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli buku itu.

Jika pelajar menjaga buku teks itu dengan baik, pasti ibu bapa tidak perlu membeli buku yang sama untuk kegunaan anak pada tahun berikutnya, melainkan kandungan sesuatu buku itu sudah disemak semula.

3 comments: